Search This Blog

Thursday 21 June 2012

Kaedah dan Model Pengajaran Pendidikan Islam


PENGENALAN
Dalam arus pendidikan di Malaysia pada masa kini, pendidikan memainkan peranan yang sangat penting sebagai agen perubah bagi masyarakat dalam sesebuah negara. Pendidikan merupakan kayu pengukur kedudukan seseorang dalam masyarakat, menentukan tahap keilmuan yang dimiliki, serta berperanan dalam banyak perkara, khususnya sebagai garis panduan dan juru pandu masyarakat ke arah kehidupan yang lebih bertamadun. Justeru, pihak Kementerian Pelajaran telah mewujudkan pelbagai inisiatif dalam meningkat dan memartabatkan profesion keguruan supaya para guru mampu melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, berketerampilan, berakhlak mulia dan berkeupayaan memberikan sumbangan kepada kemakmuran negara.
Jika dilihat kepada maksud pendidikan menurut perspektif Islam, Khurshid Ahmad menyatakan bahawa ia adalah satu pelajaran atau pendidikan bagi kognitif, fizikal dan roh untuk melahirkan insan yang berperikemanusiaan. Al-Qaradhawi pula menjelaskan bahawa pendidikan dalam Islam ialah pendidikan yang menumpukan kepada segala aspek kehidupan manusia, termasuklah pendidikan akal, hati, rohani, jasmani, akhlak dan perilaku. Dari segi falsafah, pendidikan ialah satu proses memanusiakan manusia, iaitu proses memupuk dan meningkatkan kesedaran dalam diri manusia (conscientization) tentang fizikal dan metafizikal (Tuhan, manusia dan alam).
Justeru, berdasarkan takrifan-takrifan ini, pendidikan dapat disimpulkan sebagai suatu proses menyempurna dan melengkapkan diri pelajar dengan aspek-aspek kognitif, psikomotor dan afektif supaya pelajar dapat mengaplikasi segala ilmu yang diterima itu sebagai suatu panduan dalam kehidupan.
Oleh yang demikian, seseorang guru itu tidak dapat tidak mestilah terlebih dahulu mempersiapkan diri dan membuat perancangan yang teliti sebelum menyampaikan sesuatu pelajaran. Keadaan ini adalah bagi memastikan para pelajar dapat menerima pengajaran guru dengan baik dan berkesan serta ketiga-tiga aspek kognitif, psikomotor dan afektif berjaya diterapkan ke dalam diri pelajar. Di sinilah sesuatu Rancangan Pengajaran memainkan peranan yang penting dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Guru yang berpengalaman mahupun yang tidak berpengalaman tetap perlu membuat perancangan. Perancangan yang berkesan akan menjamin pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan.
Pada permulaan tahun, setiap guru perlu menyediakan rancangan kerja untuk tempoh mengajar selama setahun. Ia merupakan suatu rancangan yang disediakan oleh guru sebagai panduan bagi pelaksanaan pengajaran-pembelajaran. Rancangan ini mengandungi topik-topik pelajaran dan aktiviti-aktiviti pelajar yang akan dijalankan. Ia disediakan berdasarkan sukatan pelajaran bagi setiap mata pelajaran yang diajar, bertujuan mencapai pembelajaran yang maksimum.
Di sini, jelaslah bagi kita bahawa penyediaan Rancangan Pengajaran adalah penting kerana:
i. Merupakan suatu panduan kepada guru dalam mengajar topik-topik yang akan disampaikan.
ii. Pemesongan topik dan objektif pembelajaran dapat dielakkan.
iii. Pengajaran dapat dipermudahkan kerana bahan dan alat bantu mengajar telah pun dirancang.
iv. Susunan topik-topik pelajaran adalah teratur dan mengikut prinsip pengajaran yang sebenar.
v. Membolehkan guru pengganti mengambil alih tugas dengan mudah.
vi. Penyampaian topik-topik yang telah lepas dan yang akan datang boleh disemak dengan adanya rancangan kerja.
vii. Membantu guru-guru yang mengajar mata pelajaran yang sama dalam bilik darjah yang berlainan membuat penyelarasan dengan tujuan mengadakan ujian yang sama.

Justeru, penyediaan Rancangan Pengajaran memainkan peranan yang amat penting bagi memastikan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijayakan. Hal ini adalah kerana kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran akan mempengaruhi dan memberi kesan terhadap penerimaan pelajaran yang diajar dalam kalangan pelajar.

TUJUAN DAN MATLAMAT PENDIDIKAN ISLAM
• Tujuan pendidikan Islam
Al-Ibrashy (1976) menegaskan bahawa tujuan pendidikan Islam bukanlah memenuhi otak pelajar dengan berbagai-bagai maklumat atau mengajar mereka dengan pelbagai mata pelajaran yang mereka tidak tahu sebelumnya, tetapi tujuan sebenarnya ialah mendidik mereka supaya berakhlak mulia, mendidik roh supaya halus dan sempurna, mengasuh mereka melakukan yang baik, terhormat dan mulia, membiasakan mereka dengan kebersihan, kesucian dan keikhlasan serta amalan-amalan yang berfaedah.
Selain itu, dalam pelaksanaan pendidikan Islam pada umumnya ia lebih kepada menyampaikan maklumat, sebab itu ia disebut proses pengajaran dan pembelajaran dan tidak pernah pun disebut proses pendidikan. Melihatkan keruntuhan akhlak di kalangan pelajar Islam yang begitu hebat dewasa ini, pendidikan Islam perlu disemak semula khasnya dalam bidang penyampaian dan perkaedahan serta penghayatan.
Dalam mata pelajaran pendidikan Islam, guru bukan sahaja memberi ilmu agama malah guru haruslah mendidik pelajar dengan nilai-nilai Islam. Guru pendidikan Islam juga sentiasa menasihatkan dan mendidik pelajar supaya mereka menjadi manusia yang baik dan soleh.
Pelaksanaan pendidikan Islam juga bertujuan supaya setiap pelajar dapat mengamalkan dan menghayati nilai-nilai Islam di dalam kehidupan mereka. Pelajar haruslah di didik supaya berakhlak mulia dan mengamalkan nilai-nilai Islam. Ini kerana, walaupun pelajar mendapat keputusan yang baik dalam mata pelajaran pendidikan Islam tetapi tidak berakhlak mulia merupakan satu kegagalan dalam pendidikan Islam.
• Matlamat Pendidikan Islam
Pendidikan Islam ialah pendidikan yang bersumberkan al-Quran dan hadis. Oleh itu, matlamat pendidikan tersebut hendaklah disesuaikan dengan kedua-dua sumber tersebut. Matlamat pendidikan Islam adalah lebih luas dan syumul, ia bertujuan mewujudkan warganegara yang baik dan melahirkan insan yang soleh yang tidak mengenal batas masa, negeri dan bangsa sebaliknya menuju kepada Allah dan alam akhirat.
Matlamat pendidikan Islam juga adalah untuk melahirkan khalifatullah yang mempunyai perkembangan yang seimbang. Keseimbangan pembangunan manusia ini perlu berasaskan kepada aspek kerohanian kerana dengan kerohanian manusia yang dididik tersebut akan patuh dan taat kepada hukum yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. Proses membangunkan insan perlulah secara menyeluruh dari semua aspek kehidupan.
Imam al-Ghazali menjelaskan matlamat pendidikan sebagai:
“ Untuk mendekatkan diri kepada Allah dan bukan untuk memperoleh kedudukan, bermegah-megah dan berlumba-lumba .”
Sebagai seorang ahli tasawuf, al-Ghazali menekankan matlamat pendidikan Islam yang paling utama ialah untuk membuang segala kejahilan diri sehingga individu tersebut dapat mengenal “pencipta” dan matlamat ilmu yang sebenarnya yang membolehkan individu dapat bertaqarrub kepada Allah. Jika pendidikan yang selain taqarraillallah, adalah bukan objektif pendidikan Islam.
Matlamat pendidikan Islam menjurus kepada matlamat hidup manusia itu sendiri yang dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya: “ Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu ”.

Dan firmanNya lagi:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
Maksudnya: “ Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi ”.
Kesimpulannya, matlamat pendidikan Islam adalah untuk memastikan perhambaan yang tulen semata-mata kepada Allah baik diperingkat individu, masyarakat atau kemanusiaan seluruhnya. Tugasnya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini untuk memakmurkan alam mengikut syariat Ilahi, melihat kebahagiaan hidup umatnya di dunia dan di akhirat. Ini merupakan rahmat Allah kepada hambaNya yang mematuhi petunjukNya.

PERANCANGAN PENGAJARAN

Persediaan mengajar merupakan satu dokumen perancangan pengajaran. Dokumen ini mengandungi maklumat lengkap mengenai pelaksanaan sesuatu pengajaran yang akan dilaksanakan oleh guru. Persediaan mengajar yang disediakan dengan baik akan membantu guru dalam melaksanakan pengajaran bagi mencapai objektif yang ditetapkan, menjadi asas penilaian kualiti pengajaran pembelajaran dan merancang tindakan susulan untuk melaksanakan penambahbaikkan pengajaran dan pembelajaran.

Untuk menyediakan sesuatu rancangan kerja yang baik dan berguna, guru haruslah menyedari kepentingan rancangan kerja terhadap pengajarannya. Di samping itu, dia harus boleh mentafsirkan sukatan pelajaran mata pelajaran yang di ajarnya. Selain itu, guru juga di kehendaki menentukan suatu format rancangan kerja yang sesuai untuk digunakan semasa menyediakan rancangan kerjanya .

Guru perlu membuat perancangan bagi proses pengajarannya. Perancangan sebelum proses pengajaran merujuk kepada keputusan yang dibuat mengenai mengelola, melaksana dan menilai pengajaran (Burden & Byrd, 1999). Perancangan yang teliti dan komprehensif akan memberi kesan yang positif kepada pembelajaran pelajar. Perancangan juga akan memastikan setiap minit dalam tempoh pengajaran guru sepanjang tahun memberi kesan yang bermakna kepada guru dan murid. Isi kandungan dan bahan yang hendak disampaikan perlu lengkap dan menepati kehendak sukatan dan huraian sukatan pelajaran yang telah ditentukan.

Melalui perancangan yang teliti, guru dapat menentukan jarak, urutan dan penekanan pada isi pelajaran. Selain itu, perancangan mengajar melalui penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran juga perlu dibuat bagi memenuhi kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

RANCANGAN KERJA

Rancangan Kerja adalah perancangan yang disediakan secara sistematik oleh seseorang guru mata pelajaran dengan berpandukan sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Rancangan ini akan menjadi rujukan guru mata pelajaran berkenaan atau guru lain yang menggantikannya dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Rancangan Kerja biasanya dibuat untuk setahun (Rancangan Kerja Tahunan), mengikut penggal (Rancangan Kerja Penggal) dan minggu (Rancangan Kerja Mingguan), dan dari hari ke hari (Rancangan Kerja Harian / Persediaan Mengajar).

KEPENTINGAN RANCANGAN MENGAJAR

Rancangan pengajaran pada asasnya merupakan catatan mengenai perancangan yang berkaitan sesi pengajaran. Bagi guru-guru, rancangan pengajaran haruslah disiapkan dengan baik dan tersusun sebelum sesi pengajaran dimulakan. Rancangan pengajaran yang disiapkan dengan sempurna dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan dengan sendirinya menjadikan proses pengajaran berjalan dengan sempurna juga. Selain itu, rancangan pengajaran yang baik juga dapat mengelak atau mengurangkan berlakunya kesilapan yang boleh mengganggu proses pengajaran. Pada asalnya rancangan pelajaran diperlukan dengan tujuan:

• Melatih guru merancang semua kompenan yang patut diwujudkan dalam sesi pengajaran.
• Melatih guru berfikir secara mendalam tentang isi, bahan dan langkah-langkah pengajaran dan kemudian merangka dan menyusunnya secara teratur sebelum pengajaran sebenar disampaikan.
• Membantu guru menjangka dan kemudian meninjau masalah yang mungkin dihadapi dan membina rancangan penyelesaian masalah.
• Menentukan isi dan langkah pengajaran, terutamanya isi dan memastikan isi dan langkah yang penting tidak tercicir.
• Menentukan pengajaran yang disampaikan mempunyai objektif tertentu yang sudah dirancang dan sudah dijangka dapat dicapai bagi mengelakkan berlakunya pengajaran yang tidak berfokus.
• Menentukan fokus yang jelas dalam pengajaran.
• Memberikan panduan kepada guru mengenai isi, bahan dan langkah pengajaran yang sedia teratur semasa pengajaran dijalankan.
• Membantu penyelia menelah kesukaran dan masalah yang akan dihadapi guru pelatih dan kemudian memberi bimbingan yang diperlukan sebelum dan selepas pengajaran .
• Daripada segi profesionalisme, guru perlu bertanggungjawab terhadap tindak tanduknya melalui rekod atas apa-apa yang dilakukannya.
• Membolehkan guru merancang pengajarannya secara lebih sistematik dan teratur serta memenuhi kehendak sukatan pelajaran.
• Membantu guru menentukan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai dengan objektif pengajaran.
• Memberi keyakinan kepada guru-guru terutamanya guru-guru baru.
• Memastikan guru tidak menyeleweng dalam pengajaran.
• Membolehkan sukatan pelajaran dihabiskan mengikut jadual.
• Memudahkan guru lain mengambil alih kelas berkenaan.
• Sebagai suatu dokumen rasmi yang akan dirujuk dan disemak oleh pihak pengurusan sekolah, jemaah nazir dan pegawai-pegawai jabatan pendidikan dan kementerian pendidikan.
• Membolehkan guru menentukan objektif pengajaran yang sesuai dengan sukatan pelajaran dan kebolehan pelaja
• Membantu guru mengawal kelas.
• Membantu guru membuat penggabung jalinan dan penyerapan secara terancang.

MENYEDIAKAN RANCANGAN MENGAJAR HARIAN / PERSEDIAAN MENGAJAR

Guru juga perlu merancang dan menyediakan persediaan mengajar sebelum memulakan sesuatu pengajaran. Sebaik-baiknya persediaan ini dibuat sehari sebelum pengajaran bermula bagi membolehkan guru betul-betul bersedia dengan kaedah, aktiviti dan contoh serta bahan atau sumber yang sesuai bagi memenuhi objektif ditetapkan.

PERINGKAT-PERINGKAT PERSEDIAAN MENGAJAR / RANCANGAN MENGAJAR

Persediaan mengajar melibatkan tiga peringkat iaitu perancangan mengajar, perancangan penyampaian pengajaran dan perancangan penilaian.

PERANCANGAN PENGAJARAN

Perancangan adalah proses pertama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia meliputi aktiviti-aktiviti penentuan topik dan isi yang hendak disampaikan, kebolehan sedia ada murid-murid serta objektif pengajaran yang hendak dicapai selepas sesuatu aktiviti pengajaran. Perancangan merupakan bahagian yang penting dalam proses pengajarannya, kerana sesuatu perancangan yang baik dan rapi jika dilaksanakan dengan betul akan menghasilkan pencapaian objektif pengajaran yang optimum .

Pada peringkat ini, beberapa perkara perlu di kumpul atau disediakan oleh guru bagi merancang penyampaiannya secara lebih efektif. Perkara-perkara tersebut ialah maklumat mengenai murid, kelas dan mata pelajaran, topik aktiviti, pengetahuan sedia ada dan objektif pengajaran dan pembelajaran.


a. Maklumat Umum
Maklumat umum yang perlu diketahui ialah kelas (tahun/tingkatan), tahap, masa, bilangan dan purata umur murid. Guru perlu tahu kelas yang akan diajar kerana kelas yang berbeza biasanya menunjukkan tahap kebolehan yang berbeza. Masa atau waktu pengajaran pula akan membezakan kesediaan pelajar dan guru perlu merancang aktiviti yang sesuai. Misalnya waktu pertama dan kedua (pagi) dan waktu terakhir (tengah hari). Murid biasanya lebih cergas dan lebih bersedia menerima pelajaran daripada waktu tengah hari. Tempoh waktu pengajaran sama ada satu waktu atau dua waktu berkembar dan pengetahuan mengenai bilangan dan purata umur pelajar juga akan membantu guru merancang aktiviti yang bersesuaian.

b. Topik dan Isi
Topik dan isi yang hendak disampaikan dalam proses pengajaran dan kemahirannya haruslah mengikut kurikulum yang dipilih daripada buku teks yang disediakan, kerana isi pengajaran terkandung dalam buku teks yang diakui oleh Kementerian Pendidikan adalah dirancang mengikut kurikulum tertentu. Walau bagaimanapun seseorang guru itu boleh memilih sendiri isi pelajaran daripada sumber-sumber lain sebagai bahan tambahan. Isi pelajaran tambahan ini biasanya disampaikan dalam bentuk aktiviti pengayaan, pemulihan dan pengukuhan

Guru juga perlu tahu topik serta subtopik yang akan diajar serta aktiviti yang berkaitan dengan topik tersebut supaya guru dapat merancang kesesuaian tempoh masa, strategi pengajaran, sumber atau alat bantuan mengajar yang berkaitan. Ia jiga dapat membantu guru dalam menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran.

c. Pengetahuan Sedia Ada
Menentukan kebolehan sedia ada murid dalam pengajaran adalah sangat penting khasnya digunakan untuk merancang strategi pengajaran yang berkesan. Murid-murid tidak akan boleh belajar dengan berkesan sekiranya mereka tidak diajar menulis perkataan sebelum mereka menguasai kemahiran menulis huruf abjad. Demikian juga bagi murid-murid yang belum menghafal sifir darab dengan betul diajarkan dengan operasi bahagi. Oleh itu dalam usaha menyediakan isi pengajaran untuk disampaikan dengan berkesan guru haruslah menentukan kebolehan murid yang sedia ada terlebih dahulu. Isi pengajaran baru yang hendak disampaikan hendaklah disediakan berdasarkan kebolehan murid yang sedia ada. Dengan cara yang demikian, barulah murid dapat belajar mengikut kebolehan mereka .

Pengetahuan sedia ada merujuk kepada pengalaman, pengetahuan dan kebolehan yang sudah ada pada murid sebelum pelajaran baru yang dirancang oleh guru. Pengetahuan ini boleh merujuk kepada topik-topik yang sudah disampaikan kepada murid sebelum ini, mungkin melalui mata pelajaran yang berlainan atau tahun yang berlainan, dan juga pengalaman murid sendiri. Pengetahuan sedia ada murid akan membantu guru mengaitkannya dengan pelajaran baru (biasanya dalam set induksi), dalam menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran, memilih bahan atau sumber pengajaran dan memilih strategi dan kaedah yang sesuai.

d. Objektif Pengajaran dan Pembelajaran
Sebelum seseorang guru itu menyampaikan sesuatu pengajaran ia mestilah mengetahui apa yang ingin dicapainya dalam pelajaran itu. Taraf pencapaian ini dapat ditunjukkan dengan jelas sekiranya keputusan dan kesan pengajaran itu dinyatakan mengikut perlakuan dan prestasi murid selepas pengajaran itu. Justeru itu, sesuatu penyataan objektif itu bukan sahaja membayangkan kehendak pengajaran guru dan pencapaian murid, bahkan menuju ke arah tujuan yang dikehendaki. Dalam konteks KBSR dan KBSM, penentuan objektif pengajaran biasanya berdasarkan kemahiran yang dihuraikan dalam sukatan pelajaran serta kebolehan murid yang sedia ada. Isi pelajaran yang kemudian dipilih dan dirancang untuk disampaikan akan berdasarkan kepada objektif pengajaran yang telah ditentukan

Objektif pengajaran ialah suatu keterangan mengenai ’performance’ yang perlu ditunjukkan oleh pelajar sebelum dianggap berupaya (compotent). Ia adalah huraian cadangan hasil daripada pengajaran dan bukannya proses pengajaran (Mager 1990). Objektif ini perlu bagi seseorang guru menentukan kandungan dan prosedur pengajaran, menyusun strategi dan aktiviti dan menilai serta mengukur keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Bagi mata pelajaran yang berkaitan dengan kesenian seperti Pendidikan Seni dan Muzik, guru perlu mengambil kira objektif yang berbentuk ekspresif. Objektif juga perlu dipelbagaikan bagi kelas yang muridnya mempunyai pelbagai keupayaan.

PENENTUAN STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Penentuan strategi pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada pemilihan strategi yang sesuai dengan tujuan untuk memperolehi hasil pencapaian objektif pengajaran dalam peringkat optimum. Strategi pengajaran dan pembelajaran boleh ditentukan berdasarkan kaedah dan teknik pengajaran seperti kaedah demonstrasi, penyoalan, perbincangan dan lain-lain. Di samping itu, kaedah keseluruhan kelas, kaedah kumpulan dan kaedah individu juga harus diambil kira semasa menentukan strategi pengajaran dan pembelajaran. Secara am, tujuan menentukan strategi ini adalah untuk membolehkan murid-murid melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti pembelajaran mereka serta menguasai kemahiran dengan berkesan.

PENENTUAN MASA

Penentuan masa dalam sesuatu waktu pelajaran biasanya diagihkan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti set induksi, penyampaian guru, aktiviti guru dan murid, aktiviti pembelajaran murid serta penutup. Oleh kerana aktiviti pengajaran dan pembelajaran masa kini berorientasikan murid sebahagian besar peruntukan masa dalam setiap waktu pelajaran dalam setiap waktu pelajaran hendaklah diagihkan kepada aktiviti pembelajaran murid sendiri secara am, masa yang diperuntukan bagi guru mengajar hendaklah dikurangkan seboleh-bolehnya tidak melebihi satu pertiga daripada waktu pelajaran.

PEMERINGKATAN ISI

Dalam proses penyampaian, isi pelajaran yang telah dipilih hendaklah disampaikan mengikut urutan yang sesuai. Ini boleh dilaksanakan mengikut prinsip-prinsip pengajaran berikut iaitu:

1. Daripada mudah kepada komplek.
2. Daripada dekat kepada jauh.
3. Daripada kronkrit kepada abstrak.
4. Daripada pengetahuan sedia ada kepada pengetahuan baru yang hendak dipelajari.
5. Daripada kemahiran sedia ada kepada kemahiran baru yang hendak dipelajari.

Tujuan utama menyusun isi pelajaran mengikut prinsip-prinsip pengajaran adalah untuk memudahkan serta mempertingkatkan kefahaman murid-murid dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

No comments:

Post a Comment